SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menasihatkan orang ramai terutama golongan berisiko tinggi supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca jerebu.

Pengarahnya, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, ia termasuk mengelak melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat.

"Selari dengan saranan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

"Banyakkan berada berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai selain banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi kesihatan anak-anak kecil dan yangmenghidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

Selain itu, Dr Harlina turut menasihatkan individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dengan segera bagi mengelakkan kesan lebih teruk berlaku.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 8 pagi tadi, beberapa kawasan di dalam negara merekodkan IPU tidak sihat termasuk di Nilai dekat sini dengan bacaan semasa ialah 148. - BERNAMA