Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Pasir Gudang kembali ke kategori sederhana, 14 kawasan masih tidak sihat setakat 3 petang

Sementara itu, Bandaraya Melaka terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti udara apabila bacaan IPU menurun kepada 103 berbanding 115 pada jam terdahulu, sekali gus menghampiri kategori sederhana. -Gambar fail/Bernama
Sementara itu, Bandaraya Melaka terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti udara apabila bacaan IPU menurun kepada 103 berbanding 115 pada jam terdahulu, sekali gus menghampiri kategori sederhana. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung kekal stabil dengan 14 kawasan terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 3 petang ini.

Berdasarkan data kualiti udara terkini, Pasir Gudang di Johor kekal dalam kategori sederhana apabila bacaannya menurun kepada 99 berbanding 100 yang dicatatkan pada jam 2 petang tadi.

Nilai di Negeri Sembilan kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini walaupun menurun satu mata kepada 162 berbanding 163 yang direkodkan sejak beberapa jam lalu.

Trend kualiti udara di stesen pemantauan lain di Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan keadaan yang tidak banyak berubah dengan Seremban kekal pada bacaan tidak sihat 156, manakala Bukit Rambai di Melaka meningkat satu mata kepada 157.

Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, sebahagian besar stesen utama mencatat peningkatan satu mata berbanding jam sebelumnya dengan Petaling Jaya, Klang serta Johan Setia masing-masing mencatat bacaan 155, manakala Shah Alam merekodkan bacaan 153.

Batu Muda di Kuala Lumpur serta Putrajaya pula melaporkan bacaan yang tidak berubah, masing-masing kekal pada paras 155 dan 151, manakala Cheras meningkat dua mata kepada 113.

Sementara itu, Bandaraya Melaka terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti udara apabila bacaan IPU menurun kepada 103 berbanding 115 pada jam terdahulu, sekali gus menghampiri kategori sederhana.

Bagi stesen terjejas lain, Tangkak di Johor serta Banting di Selangor masing-masing kekal pada paras 152 dan 151, manakala Port Dickson di Negeri Sembilan meningkat satu mata kepada 129.

Secara keseluruhan, 54 stesen pemantauan IPU lain di seluruh negara berada dalam kategori sederhana dan baik.

Kluang serta Pasir Gudang masing-masing merekodkan bacaan 99, iaitu yang tertinggi dalam kategori sederhana, manakala kualiti udara terbaik dicatatkan di Limbang, Sarawak dengan bacaan 37.

Must Watch Video

Advertisement