MALAYSIA
Jerebu: PdPR dilaksana jika IPU lebih 200 - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap kepada pemberita pada Majlis Anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2024 Peringkat Kebangsaan, hari ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Menteri berkenaan Fadhlina Sidek.
Ringkasan AI
- KPM akan laksanakan PdPR jika IPU melebihi 200, berdasarkan garis panduan yang diselaraskan dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kelestarian Alam.
- IPU melebihi 100 larang aktiviti luar, dan semua pengarah negeri diminta buat keputusan segera ikut bacaan semasa untuk lindungi kesihatan pelajar.
- Orang ramai boleh semak bacaan IPU setiap jam melalui portal JAS dan aplikasi MyJAS EQMSNilai dan Johan Setia antara kawasan bacaan IPU tidak sihat setakat ini.
"Dari segi garis panduan itu jelas, penjelasan juga telah diberikan kepada semua pengarah negeri untuk buat keputusan segera sekiranya berdasarkan pedoman IPU," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar, Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu 116 dan Johan Setia di Selangor (154), setakat 4 petang ini.
Menurut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 101 hingga 200 yang dikategorikan sebagai tidak sihat, boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara dan orang ramai boleh merujuk laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau memuat turun aplikasi MyJAS EQMS melalui Google Play atau App Store.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami