PUTRAJAYA: Proses pembelajaran di institusi pendidikan tinggi (IPT) setakat ini tidak terjejas akibat jerebu susulan pelaksanaan sistem pembelajaran yang lebih anjal.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian sekiranya pelajar tidak dapat menghadiri kuliah secara fizikal.
“Setakat ini, dari segi terjejasnya tidak ada kerana proses kita menggunakan pendekatan yang lebih anjal.
“Kalau mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat secara dalam talian kepada mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada Pelajar Terbaik STPM 2025, di sini, pada Isnin.
Pada masa sama, semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti telah dimaklumkan supaya terus memantau perkembangan jerebu, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Kita telah memaklumkan kepada institusi pendidikan tinggi, universiti, politeknik dan juga kolej komuniti untuk sentiasa memantau, khususnya di kawasan Sabah dan Sarawak yang terkesan serius.
“Kita mengikuti perkembangan ini dan akan memastikan setiap proses pembelajaran pelajar, di mana-mana pun, berasaskan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL