Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Raja Zarith Sofiah bimbang kesan jangka panjang ke atas kesihatan pelajar

Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, di Istana Negara hari ini. - Gambar Instagram @officialsultanibrahim
Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, di Istana Negara hari ini. - Gambar Instagram @officialsultanibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang pencemaran udara akibat jerebu terhadap kesihatan murid dan pelajar sekolah, khususnya membabitkan paru-paru serta fungsi otak dan pemikiran.

Menerusi satu hantaran di media sosial Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda bertitah, pendedahan secara kerap kepada udara tercemar boleh memberi kesan buruk dalam jangka panjang.

Titah Raja Zarith Sofiah, baginda mengambil berat akan kesan pencemaran udara terhadap kesihatan kanak-kanak, khususnya murid dan pelajar sekolah yang lebih terdedah kepada risiko gangguan kesihatan memandangkan sistem pernafasan mereka masih dalam peringkat perkembangan.

“Berikutan kualiti udara tercemar akibat jerebu, saya amat bimbang kesan kesihatan jangka panjang khususnya melibatkan para murid dan pelajar.

“Apa yang amat dibimbangi ialah pendedahan secara kerap kepada udara tercemar boleh memberi kesan buruk jangka panjang bukan sahaja kepada paru-paru tetapi juga kepada fungsi otak dan pemikiran,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa pemakaian pelitup muka, antaranya jenis N95, penting bagi membantu mengurangkan pendedahan kepada zarah pencemaran udara ketika jerebu melanda.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, di Istana Negara hari ini.

Hadir sama, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan; Dr Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum); Dato' Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) dan Dato' Amzan Abd Malek, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme).

Pada sesi mengadap selama hampir dua jam, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan menzahirkan pelbagai pandangan serta pendapat mengenai isu berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement