KUCHING: Jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan 19 kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang, dengan kepekatan partikel terampai PM2.5 pada tahap tidak sihat diramalkan berlaku di Miri dan Serian hari ini, diikuti Betong esok, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kawasan yang dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
“Laporan pergerakan jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak berpunca daripada rentas sempadan, dengan corak angin semasa membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.
“Berdasarkan penilaian terkini, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi, iaitu Serian (171), Kuching (154), Samarahan (154), Sri Aman (139) dan Bintulu (124).
JAS memaklumkan kemerosotan itu berpunca daripada pergerakan jerebu dari pelbagai arah, dengan kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki barat Sarawak manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan dan tengah Sarawak.
Sementara itu, Uggah berkata keadaan cuaca dan corak angin boleh berubah, sekali gus menasihati orang ramai supaya terus berwaspada serta memantau bacaan IPU terkini.
Beliau berkata orang ramai perlu mengurangkan aktiviti luar, khususnya senaman lasak apabila kualiti udara merosot, menutup pintu dan tingkap ketika tahap jerebu tinggi serta memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan tubuh sentiasa terhidrat dan mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas, ketidakselesaan pada dada atau batuk berterusan,” katanya, sambil menambah pembakaran terbuka tidak boleh dilakukan dan sebarang kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Uggah mengingatkan orang ramai bahawa pembakaran terbuka adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, dengan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Laporan mengenai kes pembakaran terbuka boleh dibuat kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerusi talian 082-447 488 atau 082-319 500.
-- BERNAMA