KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tidak akan dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata skala atau lokasi penganjurannya mungkin diubah bagi menjamin keselamatan dan kesihatan para peserta serta pengunjung.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan Jemaah Menteri memutuskan supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan perbincangan bersama kementerian dan jabatan berkaitan petang ini bagi meneliti perkara berkenaan.
"KSN akan meneliti bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi serta beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan.
"Ini berdasarkan anggaran dan unjuran keadaan cuaca bagi lima hingga enam hari akan datang, termasuk senario yang mungkin berlaku berhubung keadaan jerebu," katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Fahmi menambah perbincangan itu akan menentukan sama ada sambutan Hari Kebangsaan diteruskan di lokasi asal di Dataran Putrajaya, ditukar lokasi atau skala penganjurannya diubah.
"Ya, kita tidak akan batalkan tetapi sama ada skalanya berubah ataupun diubah lokasi. Kita tunggu hasil mesyuarat Tan Sri KSN petang ini," ujarnya.
Beliau berkata perkara itu turut mengambil kira penglibatan kira-kira 1,500 pelajar sekolah menengah dari tiga negeri yang menyertai persembahan 'human graphic' sempena sambutan Hari Kebangsaan.
"Perkara ini tidak diputuskan dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) tetapi kita akan ambil maklum daripada pihak KKM dan juga KPM," katanya.
Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan program ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka juga akan diteliti.