Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu beroperasi seperti biasa esok

Fadhlina berkata KPM akan terus memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini. - Gambar fail/Bernama
Fadhlina berkata KPM akan terus memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan beroperasi seperti biasa esok berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di ketiga-tiga negeri itu masih terkawal.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.

“Sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu beroperasi seperti biasa esok (11 Oktober 2026) memandangkan bacaan IPU masih terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KPM mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 ditutup mulai 9 Okt, manakala kawasan yang merekodkan bacaan melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut perlu ditutup mulai 12 Okt.

Penutupan itu bertujuan melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan daripada kesan jerebu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini mengarahkan Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu bagi menentukan status pengoperasian sekolah berdasarkan bacaan IPU secara harian.

KPM memaklumkan jawatankuasa itu, yang melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), akan memantau bacaan IPU mengikut ketetapan masa setiap hari.

"Berdasarkan maklumat dan data oleh jawatankuasa ini, PPN akan membuat keputusan tentang status operasi sekolah sama ada sekolah beroperasi seperti biasa atau sekolah beroperasi secara BDR-PdPr," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan PPN akan mengumumkan status pengoperasian sekolah sebelum 2.45 petang pada Sabtu bagi sekolah kumpulan A dan Ahad bagi sekolah kumpulan B manakala bagi hari-hari lain, pemakluman akan dibuat sebelum 5.45 petang berdasarkan data bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar.

Menurut KPM, penetapan masa pengumuman itu turut memudahkan urusan murid yang hendak pulang ke asrama atau sebaliknya.

KPM turut meminta ibu bapa dan penjaga supaya peka terhadap pengumuman PPN menerusi saluran komunikasi rasmi JPN, PPD serta sekolah masing-masing.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement