Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Sekolah empat daerah Selangor kekal tutup pada Selasa - JPNS

Arahan itu menyaksikan penutupan sekolah akibat jerebu memasuki hari ketiga persekolahan sejak Jumaat lalu, namun kini hanya melibatkan empat daerah berbanding seluruh Selangor sebelum ini. - Gambar fail/Bernama
Arahan itu menyaksikan penutupan sekolah akibat jerebu memasuki hari ketiga persekolahan sejak Jumaat lalu, namun kini hanya melibatkan empat daerah berbanding seluruh Selangor sebelum ini. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di empat daerah di Selangor akan terus ditutup pada Selasa susulan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan, penutupan itu melibatkan semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang.

Arahan itu menyaksikan penutupan sekolah akibat jerebu memasuki hari ketiga persekolahan sejak Jumaat lalu, namun kini hanya melibatkan empat daerah berbanding seluruh Selangor sebelum ini.

“(Ia) berikutan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” menurut kenyataan JPNS hari ini.

Bagaimanapun, semua sekolah di daerah lain di Selangor akan beroperasi seperti biasa.

Sehubungan itu, pihak sekolah yang terlibat diminta segera memaklumkan penutupan berkenaan kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing.

JPNS turut menegaskan bahawa langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa diutamakan.

Dalam masa sama, warga pendidik dan ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara serta arahan operasi sekolah.

Sebarang maklumat lanjut mengenai operasi dan pembukaan semula sekolah akan diumumkan menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPNS.

Sebelum ini, semua sekolah di Selangor mula ditutup pada Jumaat, 9 Oktober lalu susulan keadaan jerebu, dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


 

Must Watch Video

Advertisement