Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: Serian catat IPU sangat tidak sihat, 10 kawasan lain tidak sihat setakat 6 pagi

KUCHING, 23 Ogos - Tinjauan di sekitar Kuching tengah hari ini mendapati bandar raya tersebut diselubungi jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 180. Sementara itu, stesen IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi negara di paras 198 setakat 7 pagi tadi manakala lapan kawasan di Malaysia berada pada tahap kualiti udara tidak sihat. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 221, sekali gus berada dalam kategori sangat tidak sihat. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat 6 pagi ini, dengan satu kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 221, sekali gus berada dalam kategori sangat tidak sihat.

Sebanyak 10 lagi kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, kebanyakannya di Sarawak, iaitu Kuching (194), Samarahan (188), Bintulu (170), Sri Aman (168), Samalaju (164), Sarikei (160), Sibu (159), Mukah (155) dan Miri (148).

Di Semenanjung, hanya Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU 134.

Keadaan itu menunjukkan jerebu masih menjejaskan beberapa bahagian Sarawak, dengan sembilan daripada 11 kawasan yang mencatatkan bacaan melebihi 100 terletak di negeri berkenaan.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar jika berada di kawasan terjejas.

 

Must Watch Video

Advertisement