KUALA LUMPUR: Hanya satu kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini, menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Stesen pemantauan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan bacaan IPU 155, yang berada dalam kategori tidak sihat.
Sejumlah 63 kawasan lain di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala baki stesen pemantauan berada pada tahap baik.
Menurut APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Orang ramai, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang terjejas jerebu serta sentiasa memantau perkembangan kualiti udara semasa.
Maklumat terkini mengenai bacaan IPU boleh diperoleh menerusi portal APIMS yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).