KUALA LUMPUR: Sungai Petani, Kedah menjadi kawasan terbaharu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala kualiti udara di Samalaju, Sarawak menunjukkan pemulihan apabila kembali ke kategori sederhana setakat 6 petang ini.
Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Sungai Petani mencatatkan bacaan IPU 112, meningkat daripada 97 pada 4 petang dan menunjukkan jerebu kini mula menjejaskan lebih banyak kawasan di utara Semenanjung.
Sebaliknya, Samalaju yang sebelum ini berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 116 mencatatkan penurunan kepada IPU 98, sekali gus kembali ke kategori sederhana.
Pergerakan keluar dan masuk kategori tidak sihat membabitkan kedua-dua stesen itu menyebabkan jumlah keseluruhan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara kekal sebanyak 36 stesen.
Johan Setia di Selangor terus merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu IPU 177, diikuti Bandaraya Melaka (175) dan Nilai, Negeri Sembilan (174).
Sebanyak 26 stesen pemantauan lagi berada pada tahap sederhana, manakala enam stesen masih berada dalam kategori baik.
Limbang, Sarawak merekodkan bacaan IPU terendah negara iaitu 26.
Orang ramai di kawasan terjejas, khususnya di sekitar Sungai Petani, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah pencegahan yang sesuai.
Penduduk di Samalaju pula disaran terus berwaspada memandangkan bacaan IPU di kawasan itu masih hampir kepada ambang tidak sihat.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, menutup tingkap rumah serta memakai pelitup muka yang sesuai, termasuk N95, bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah halus PM2.5 yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan.