PUTRAJAYA: Tiada syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia berdasarkan semakan terhadap syarikat yang mempunyai konsesi sawit di negara berkenaan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa kebanyakan aktiviti pembakaran yang dilaporkan berlaku di luar kawasan konsesi sawit milik syarikat Malaysia.
Beliau berkata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, turut diminta mengadakan sesi libat urus dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia.
"Jemaah Menteri dimaklumkan kebanyakan daripada apa yang telah disaksikan dalam aktiviti pembakaran itu tidak berlaku di dalam konsesi sawit milik syarikat Malaysia.
"Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai kebakaran di sebuah ladang Genting Plantations seluas lima hektar di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada api yang merebak dari kawasan luar sebelum berjaya dipadamkan.
"Pada Isnin akan diadakan satu mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri dan antara lain isu jerebu akan dibincangkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khusus dengan syarikat perladangan Malaysia yang menjalankan operasi di Indonesia.
Katanya, garis panduan sedia ada yang digunakan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang sedang berkuat kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan keperluan penyelarasan lebih baik bagi menangani isu jerebu, termasuk aktiviti sukan di luar bangunan serta pembukaan sekolah dan tempat pembelajaran.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai langkah menangani jerebu dijangka menyusul selepas mesyuarat itu, termasuk daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan.