Skip to main content

Malaysia

Jerebu tidak jejas aktiviti nelayan, LKIM nasihat utamakan keselamatan

BERNAMAKetua Pengarah LKIM Datuk Dr Abdul Salim Tajudin berkata nelayan juga perlu memastikan jaket serta peralatan keselamatan lain dibawa dan digunakan ketika berada di laut. - Gambar fail/Bernama
BERNAMAKetua Pengarah LKIM Datuk Dr Abdul Salim Tajudin berkata nelayan juga perlu memastikan jaket serta peralatan keselamatan lain dibawa dan digunakan ketika berada di laut. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

SUNGAI PETANI: Jerebu yang melanda negara setakat ini tidak menjejaskan aktiviti penangkapan ikan di laut, namun nelayan di kawasan yang mengalami kemerosotan jarak penglihatan dinasihatkan supaya menangguhkan sementara aktiviti berkenaan demi keselamatan mereka.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Dr Abdul Salim Tajudin berkata nelayan juga perlu memastikan jaket serta peralatan keselamatan lain dibawa dan digunakan ketika berada di laut.

“Keadaan jerebu di kawasan utara ini tiada masalah berbanding di selatan yang menyaksikan jarak penglihatan terjejas.

“Setakat ini tak ada isu lagi tentang bekalan ikan, masih boleh dapat di semua kedai. Cuma nasihat saya agar nelayan khususnya di kawasan selatan lebih berhati-hati jika melakukan aktiviti di laut,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah seorang nelayan yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, dekat sini pada Rabu.

Abdul Salim turut menyampaikan bantuan awal RM1,000 berserta barangan keperluan kepada nelayan berkenaan, Azizan Mohd Soleh, 60, yang rumah dan bengkelnya terjejas dalam kebakaran Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, bengkel Azizan bersama sebuah kereta milik anaknya, 11 motosikal dan lima enjin bot milik pelanggan musnah dalam kebakaran.

Abdul Salim berkata bantuan itu disalurkan menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, manakala bantuan susulan sehingga RM10,000 akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa LKIM.

Beliau berkata nelayan terbabit yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda sejak lebih 20 tahun lepas layak menerima manfaat berkenaan.

Sementara itu, Azizan berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM300,000.

“Bengkel ini sudah lebih 10 tahun saya usahakan. Bermula dengan membaiki enjin bot nelayan, kini perniagaan dikembangkan kepada bengkel membaiki motosikal yang diuruskan anak ketiga saya dan semuanya sudah musnah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LKIM yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement