Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Warga miskin kota mengadu sakit dada, tidak mampu beli pelitup muka

Golongan warga miskin kota yang lebih mesra dikenali sebagai rakan jalanan dalam kalangan sukarelawan Dapur Jalanan itu termasuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan bergantung kepada bantuan komuniti. Gambar Firdaus Mohari/Astro AWANI.
Golongan warga miskin kota yang lebih mesra dikenali sebagai rakan jalanan dalam kalangan sukarelawan Dapur Jalanan itu termasuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan bergantung kepada bantuan komuniti. Gambar Firdaus Mohari/Astro AWANI.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketika orang ramai mencari perlindungan daripada jerebu, sebahagian warga miskin kota terpaksa terus menghirup udara tercemar kerana tidak mempunyai tempat berteduh.

Tinjauan Astro AWANI di Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Jalan Panggung mendapati, ada dalam kalangan komuniti berkenaan mengadu mengalami masalah kesihatan, selain tidak mampu membeli pelitup muka.

Golongan warga miskin kota yang lebih mesra dikenali sebagai rakan jalanan dalam kalangan sukarelawan Dapur Jalanan itu termasuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan bergantung kepada bantuan komuniti.

Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Muhammad Nabil Firdaus Rauyat berkata, keadaan jerebu menambah kesukaran rakan jalanan yang sebahagiannya menjadikan kaki lima sekitar ibu kota sebagai tempat berlindung.

"Mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli pelitup muka yang mencukupi, contohnya N95. Mereka bergantung kepada pemberian NGO lain di sekitar Kuala Lumpur.

"Ketika cuaca panas dan berjerebu, ada yang mengadu sakit dada. Kami hanya mampu bertanya khabar mereka," katanya kepada Astro AWANI pada hari ini.

Image
DAPUR JALANAN -- AWANI
Mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli pelitup muka yang mencukupi, contohnya N95, ujar Nabil.

Batuk, selesema antara keluhan rakan jalanan

Sukarelawan Dapur Jalanan yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Salimi Hussein berkata, sebahagian penerima bantuan makanan turut mengadu mengalami batuk dan selesema ketika keadaan udara berjerebu.

"Sebahagian pengunjung Dapur Jalanan mengeluh mengenai pencemaran udara yang mengganggu kesihatan. Ada yang batuk-batuk, ada yang selesema.

"Tambahan pula, bukan semuanya mempunyai rumah. Ada yang tinggal di bawah jambatan," katanya.

Image
DAPUR JALANAN -- AWANI
Salimi turut mengalami sakit tekak akibat jerebu namun tetap tekun melaksanakan tugas.

Salimi sendiri mengakui mengalami sakit tekak ketika menjalankan tugas di luar bangunan, namun tetap meneruskan tanggungjawab membantu golongan memerlukan.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan pemantauan kesihatan warga miskin kota yang terdedah kepada pencemaran udara.

"Rakyat banyak susah. Dengan cuaca sekarang yang tidak mengizinkan, kalau boleh pantau dan turun padang lihat sendiri keadaan mereka di sini, terutama kesihatan mereka," ujarnya.

Tidak semua mampu berlindung daripada jerebu

Image
DAPUR JALANAN -- AWANI
Rania berpandangan, isu jerebu rentas sempadan memerlukan tindakan lebih tegas di peringkat kerajaan, dengan mengambil kira keperluan golongan rentan.

Seorang lagi sukarelawan, Raja Rania Farhana R. Zainal Abidin berkata, tidak semua anggota komuniti mempunyai tempat berteduh, malah ada yang terpaksa bekerja di kawasan terbuka.

"Bukan semua rakyat boleh berteduh dan hidup dengan selesa, atau mempunyai akses kepada pelitup muka dan mungkin juga perkhidmatan kesihatan," katanya.

Beliau berpandangan, isu jerebu rentas sempadan memerlukan tindakan lebih tegas di peringkat kerajaan, dengan mengambil kira keperluan golongan rentan.

Image
DAPUR JALANAN -- AWANI
Dapur Jalanan terus menyediakan makanan kepada sekitar 100 hingga 120 rakan jalanan setiap Ahad.

Sementara itu, Muhammad Nabil berkata, Dapur Jalanan terus menyediakan makanan kepada sekitar 100 hingga 120 rakan jalanan setiap Ahad, meskipun berdepan cabaran cuaca dan kekurangan sukarelawan.

"Walaupun jerebu merosakkan persekitaran, rakan-rakan jalanan kita masih lapar. Kami perlu meneruskan tugas," katanya.

Must Watch Video

Advertisement