MALAYSIA

"Jermanpine" permata berharga Kampung Parit Jerman, ikon pelancongan baharu Pontian

Bernama 27/12/2025 | 13:30 MYT
Muhammad Anal, menunjukkan nanas jenis MD2 yang turut dikenali sebagai Jermanpine, yang sinonim dengan daerah Pontian dan Kampung Parit Jerman. - Gambar Bernama
PONTIAN: Dikatakan pernah menjadi penempatan dan mempunyai ladang pertanian yang diusahakan oleh warga Jerman suatu ketika dahulu membuatkan sebuah kampung di Pontian diberikan nama "Kampung Parit Jerman" oleh penduduknya.


Ringkasan AI
  • Kampung Parit Jerman asalnya dikenali kerana penempatan warga Jerman serta peninggalan sejarah mereka seperti batu-bata dan tangga batu yang masih kekal sehingga kini sejak 1940-an sebelum Perang Dunia Kedua.
  • Kini, kampung tersebut terkenal dengan tanaman nanas jenis MD2 atau "Jermanpine" melalui Projek Tanaman Nanas Berkelompok (PTNB) Parit Jerman yang melibatkan lebih 30 hektar dan telah berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
  • Projek PTNB Parit Jerman dianggap "permata" dengan berjaya menanam sejuta pokok nanas sekali gus, mencetuskan penghasilan pelbagai produk berasaskan nanas termasuk jus, jem, kek, dan kuih tat, serta menawarkan pengalaman agropelancongan yang unik dengan pelbagai aktiviti menarik seperti merasai sendiri pengalaman memetik nanas dan menunggang ATV di ladang nanas.


Kesan peninggalan bangsa dari Eropah itu seperti batu-bata serta tangga batu masih boleh dilihat hingga ke hari ini, sebagai bukti kehadiran mereka yang dipercayai mendiami kampung tersebut sekitar 1940-an iaitu sebelum Perang Dunia Kedua.

Kini, Kampung Parit Jerman dikenali bukan dek keberadaan orang Jerman tetapi popular dengan tanaman komoditi nanas jenis MD2 atau "Jermanpine" serta penghasilan pelbagai produk berasaskan nanas melalui Projek Tanaman Nanas Berkelompok (PTNB) Parit Jerman.

Teraju utama PTNB Parit Jerman, Mohammad Anal Talha, 53, berkata projek yang dianggap "permata" bagi penduduk kampung itu, melibatkan kawasan seluas lebih 30 hektar dan telah berjaya mencapai sasaran tanaman sebanyak sejuta pokok sekali gus menarik pelancong dalam serta luar negara, terutamanya ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah.

"Projek ini berjaya membawa pelancong domestik termasuk dari Sabah dan paling ramai adalah Sarawak yang turut terkenal dengan tanaman nanas, manakala dari luar negara pula hingga ke Jerman itu sendiri serta Korea Selatan, Jepun, serta beberapa negara Eropah selain Afrika," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhammad Anal berkata selain berjaya menuai hingga 25,000 biji sebulan, projek PTNB itu turut menjadi pencetus kepada penghasilan pelbagai produk industri kecil sederhana (IKS) berasaskan nanas seperti jus, jem, kuih tat, kek, dodol dan beberapa makanan lain.

Beliau berkata pembukaan Restoran Jermanpine melengkapkan lagi pusat agropelancongan di kampung itu, dengan pengunjung dapat menikmati makanan seperti nasi goreng nanas, piza nanas dan wafel nanas sambil menjamu mata menyaksikan kehijauan ladang nanas seluas mata memandang.

"Pengalaman menarik lain pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman dan bergambar di ladang nanas sebenar sambil berpeluang menimba momen menarik memetik sendiri nanas yang masak ranum serta membawa pulang hasilnya.

"Kenangan lain yang wajib dirasai pengunjung apabila ke sini ialah menunggang ATV (all terrain vehicle) mengelilingi ladang sambil menikmati pemandangan indah yang tidak ada di tempat lain," katanya.

Tambah Muhammad Anal projek tanaman nanas secara moden ini bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan apabila ke Pontian tetapi ia turut membuka rezeki kepada penduduk setempat termasuk kepada golongan muda dalam penghasilan produk IKS.

Kini Kampung Parit Jerman turut menjadi ikon baharu kepada Pontian dengan menjadi lokasi "wajib singgah" apabila ke daerah berkenaan.

--BERNAMA




#ikon baharu #ladang pertanian #tanaman komoditi #penduduk kampung