MALAYSIA

Jerry Ambuting bukan lagi Ahli Kehormat RELA sejak 2014

Bernama 09/12/2025 | 02:50 MYT
RELA mengambil maklum laporan berita yang memetik kenyataan Jerry Ambuting sebagai Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat RELA Sabah dalam dua artikel semalam. - Facebook RELA
KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menafikan Datuk Jerry Ambuting Mohd Said masih memegang status Ahli Kehormat dan Ahli Bersekutu RELA (AKBR).


Ringkasan AI
  • RELA menafikan Datuk Jerry Ambuting Mohd Said masih memegang status Ahli Kehormat dan Ahli Bersekutu RELA.
  • Pengiktirafan pangkat AKBR kepada Jerry Ambuting pada 2011 tamat pada 2014 dan tidak diperbaharui selepas itu.
  • RELA menegaskan individu tersebut tidak lagi memegang status AKBR dan tidak dibenarkan menggunakan nama RELA dalam kenyataan peribadi.


RELA dalam kenyataan memaklumkan semakan rekod rasmi mendapati penganugerahan pangkat AKBR yang diberikan kepada Jerry Ambuting pada 22 Jan 2011 telah tamat pada 22 Jan 2014 dan tidak pernah diperbaharui atau dianugerahkan semula selepas tarikh itu.

"Sehubungan itu, RELA menafikan individu berkenaan masih memegang status AKBR dan tindakan beliau menggunakan nama RELA bagi mengeluarkan kenyataan peribadi tiada kaitan dengan pihak jabatan.

"RELA juga menegaskan bahawa tiada mana-mana individu atau pihak luar boleh mengeluarkan kenyataan media atas nama jabatan tanpa kelulusan pengurusan tertinggi," menurut kenyataan itu hari ini.

RELA mengambil maklum laporan berita dalam talian semalam, yang memetik kenyataan Jerry Ambuting sebagai Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat RELA Sabah dalam dua artikel bertajuk RELA Sabah: PM's Pledge Not Remain Mere Politic Rhetoric dan "Kerajaan Persekutuan Digesa Tunai Janji 40 peratus Hasil Sabah Tanpa Lengah".


-- BERNAMA


#RELA #Jerry Ambuting #Ahli Kehormat RELA #Sabah