Jerut leher guna tali nilon, lelaki OKU dihukum dipenjara

Astro Awani
Februari 2, 2020 10:09 MYT
Tertuduh didakwa cuba menggantung diri dengan tali nilon pada siling di sebuah rumah. - Foto Astro AWANI
Seorang lelaki kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan cuba membunuh diri dengan menjerut leher menggunakan tali nilon.
Hukuman itu diputuskan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh Mohamad Sani Isa, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggantung diri dengan tali nilon pada siling di sebuah rumah.
Perbuatan itu dilakukan pada 23 Disember lalu di Kuala Nerus kira-kira jam 10.10 malam.
Tertuduh dipercayai nekad melakukan perbuatan itu akibat tekanan hidup.
BACA: Cuba gantung diri guna tali nilon, lelaki diarah ke Hospital Permai
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah pada 1 Januari lalu mengarahkan tertuduh menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.
Hukuman penjara terhadapnya berkuatkuasa bermula tarikh tangkapan pada 23 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.


Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019. 

#cubaan bunuh diri #elaki kurang upaya #Hospital #jerut leher tali nilon #mahkamah #OKU