MALAYSIA

JHEAINS akan bantu urus jenazah dua beradik lemas selepas kenal pasti status agama

Sinar Harian 06/09/2025 | 06:15 MYT
Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapa mereka terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tanjung Agas Teluk Kemang di sini pada Khamis. Foto kecil: Mohd Asri. - Sinar Harian
PORT DICKSON: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan membantu menguruskan jenazah dua beradik yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini dalam kejadian pada Khamis lalu selepas mengetahui status agama mereka.


Ringkasan AI
  • JHEAINS semak status agama dua beradik yang maut dalam kemalangan di Sungai Linggi selepas polis memohon pengesahan kerana nama mereka berunsur Cina.
  • Tiada rekod pengislaman ditemui di Kelantan atau Negeri Sembilan; JHEAINS bergantung kepada pengakuan bertulis bapa dan laporan polis untuk urusan jenazah.
  • Pengurusan jenazah akan dilakukan selepas pengesahan rasmi, sementara ibu bapa diminta buat laporan polis sebagai dokumen sokongan.


Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak polis untuk semakan status agama dua beradik berkenaan susulan nama yang tertera di dokumen peribadi mereka adalah nama orang Cina.

"Kita dah buat semakan berkenaan status agama dua beradik itu selepas bapanya memaklumkan anaknya itu telah diislamkan di Kelantan.

"Namun semakan dengan Jabatan Agama Islam Kelantan mendapati, tiada rekod yang dua beradik itu telah diislamkan, begitu juga rekod di JHEAINS," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, pihaknya kini bergantung kepada pengakuan bapa dua beradik terbabit berkenaan pengislaman mereka dan meminta lelaki itu membuat pengakuan secara bertulis kepada pihak polis.

Jelas beliau, selepas JHEAINS mendapat pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara itu, jenazah dua beradik berkenaan akan segera diuruskan.

"Buat masa ini kita bergantung kepada pengakuan daripada suspek serta ibu kandung dua beradik berkenaan yang dipercayai berbangsa lain dan turut meminta kedua-duanya membuat laporan polis.

"Apabila adanya laporan itu, kita akan gunakan dokumen itu sebagai kebenaran menguruskan jenazah kanak-kanak terbabit," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tiada ahli keluarga atau waris yang hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika proses bedah siasat mangsa.

Malah suasana di lokasi berkenaan juga kelihatan lengang dan hanya kelihatan beberapa pengamal media. -- Sinar Harian




#Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan #pengurusan jenazah #dua beradik lemas di dalam kereta #Port Dickson #status agama #terkini