[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

JHEAINS ambil tindakan susulan lelaki 'hentak' pelajar madrasah guna topi keledar

Sinar Harian 16/12/2025 | 03:55 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memukul salah seorang remaja menggunakan topi keledar di kawasan premis di Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Tindakan jangka pendek akan diambil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) susulan tular satu video seorang lelaki dipercayai sebagai tenaga pengajar yang didakwa memukul pelajarnya menggunakan topi keledar dalam kejadian di sebuah premis di daerah ini.

Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan untuk turun ke premis berkenaan bagi mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.

"Setakat ini maklumat yang diterima, sekolah tersebut mempunyai pelajar seramai 90 orang dan difahamkan pada malam kejadian ada beberapa mereka telah keluar malam untuk ke cyber cafe (kafe siber) yang terletak sejauh hampir satu kilometer dengan berjalan kaki.

"Jadi menurut tenaga pengajar di sekolah itu mereka bimbang apa yang berlaku namun telah bertindak luar kawalan seperti yang tular itu.

"Bagaimanapun laporan daripada pasukan sedang disiapkan dan hari ini juga kita akan terima dan berdasarkan dapatan tersebut, kita akan bertindak apa yang sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, tindakan guru tersebut adalah tidak wajar dilakukan dan ia boleh dilakukan dengan pendekatan yang lebih baik termasuk teguran kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

"Pada saya, disiplin itu tetap disiplin. Tapi tidaklah sewajarnya, janganlah sehingga ke peringkat begitu apatah lagi dengan membuat kekasaran. Zaman sekarang mudah sangat ditularkan.

"Oleh itu, nasihat kita supaya mana-mana pengusaha tahfiz atau madrasah supaya mendidik secara berhemah yang mana perkara itu boleh diselesaikan dengan lebih baik. Ada kaedah lain, panggil pelajar terlebih dahulu, beri nasihat dan jika rotan itu biasa tetapi bukannya dengan terajang atau pukul, itu kurang sesuailah," katanya.

Sebelum itu, beliau turut menjelaskan walaupun sekolah madrasah tersebut bukan di bawah JHEAINS namun pihaknya bertanggungjawab melakukan seliaan selepas program pemutihan dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berpendapat supaya pihak pengurusan madrasah mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelajar bermasalah di pusat tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Saya pernah menguruskan madrasah juga sebelum ini dan saya berpandangan, jika pelajar yang bermasalah seharusnya diambil dengan membuang pelajar tersebut. Ini bagi mengelak berlaku kejadian yang boleh menyebabkan tenaga pengajar hilang sabar," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang lelaki ditahan susulan satu video berdurasi hampir lima minit tular media sosial yang memaparkan sekumpulan remaja dipukul menggunakan topi keledar di sebuah premis di Kota Kinabalu. - Sinar Harian







#Kota Kinabalu #Jheains #guru pukul pelajar madrasah #pukul pelajar dengan topi keledar