MALAYSIA
JHEAIPP arah program wacana ilmu tanpa tauliah di Masjid Sembilang dibatalkan

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai Wan Ji dakwa dihalang sampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sembilang. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan program ceramah agama di Masjid Sembilang, Seberang Jaya dibatalkan selepas didapati dijalankan tanpa kebenaran dan tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.
Ringkasan AI
- Ceramah dibatalkan kerana tiada tauliah JHEAIPP membatalkan ceramah agama di Masjid Sembilang kerana dijalankan tanpa permohonan rasmi dan penceramah tidak memiliki tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.
- Langgar undang-undang dan peraturan MAINPP Program itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang syariah dan peraturan yang memerlukan kelulusan serta tauliah sebelum penganjuran aktiviti keagamaan di masjid dan surau.
- JHEAIPP seru patuhi prosedur sah JHEAIPP menegaskan agar semua pihak patuhi undang-undang dalam menganjurkan program keagamaan bagi menjaga keharmonian institusi masjid dan menafikan campur tangan politik dalam isu pembatalan tersebut.
"Justeru, program ini melanggar beberapa peruntukan undang-undang syariah serta ketetapan MAINPP dan tidak boleh diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Marzuki berkata, berdasarkan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, mana-mana individu yang mengajar atau menyampaikan tentang agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, katanya, ketetapan MAINPP bertarikh 23 Mac 2023 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut menetapkan bahawa hanya individu yang mempunyai tauliah atau kebenaran bertulis sahaja dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.
"Ceramah tersebut juga telah melanggar Kaedah 15 dan 16(1) Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998 yang mewajibkan kelulusan JHEAIPP serta permohonan rasmi menerusi Borang 3 kepada Pengarah JAIPP," jelasnya.
Marzuki turut mengingatkan bahawa tindakan seperti itu boleh dianggap menghina pihak berkuasa agama sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996.
Beliau menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang sedia ada dan memastikan segala program keagamaan di masjid dan surau diadakan mengikut prosedur ditetapkan agar institusi tersebut kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak wajar.
"MAINPP dan JHEAIPP amat mengalu-alukan penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan, namun perlu dipastikan ia dijalankan secara tertib dan sah dari segi perundangan," tegasnya. - Sinar Harian
Terdahulu, program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin yang dijadual diadakan di Masjid Sembilang pada Ahad malam didakwa dibatalkan saat akhir.
Program yang sepatutnya berlangsung selepas solat Maghrib itu tidak dibenarkan diteruskan oleh pihak pengurusan masjid selepas dipercayai berkaitan dengan isu tauliah.
Menerusi poster program, kuliah maghrib yang bertajuk iktibar dan kesan konflik pemerintahan Saidina Usman itu dianjurkan Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang.
Wan Ji dalam hantaran di laman Facebook miliknya (Herjunot Ali) berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak penganjur, kuliah Maghrib itu terpaksa dibatalkan kerana dihalang oleh pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang.
"Kuliah Maghrib malam ini di masjid Taman Sembilang terpaksa dibatalkan.
"Saya dimaklumkan pihak penganjur, ia dihalang oleh pejabat TKM1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid," katanya pada Ahad.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Exco Agama Islam Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan berkenaan.
"Dakwaan kononnya ceramah Ustaz Wan Ji di Masjid Sembilang dihalang atas arahan Pejabat TKM1 adalah tidak benar.
"Penjelasan rasmi telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Segala urusan berkaitan penceramah adalah di bawah bidang kuasa JHEAIPP dan pentadbiran masjid," katanya lagi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami