JHEAIPP tahan 14 pengunjung pusat hiburan

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 17, 2022 10:40 MYT
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menahan 14 individu beragama Islam atas kesalahan meminum minuman memabukkan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia, George Town, semalam. - Gambar ihsan PDRM
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menahan 14 individu beragama Islam atas kesalahan meminum minuman memabukkan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia, di sini, semalam.
Oeprasi dilakukan sekitar pukul 1.30 pagi bersama sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam operasi Ops Noda pusat hiburan itu, pihaknya telah memeriksa seramai 83 pengunjung di premis tersebut.
“Pemeriksaan melibatkan 48 pengunjung lelaki dan 35 pengunjung wanita berusia antara 18 hingga 49 tahun.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas pengunjung dapati negatif dan bebas dari sebarang jenis dadah.
“Bagaimanapun seramai 14 pengunjung melibatkan enam lelaki dan 10 wanita yang beragama Islam berumur anggaran 18 hingga 34 tahun ditahan oleh pihak JHAEIPP atas kesalahan minum minuman yang memabukkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kes disiasat oleh pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bawah seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
#14 pengunjung #pusat hiburan #minuman memabukkan #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang