Jho Low berada di Macau - KPN

Rahimah Abdullah
Julai 5, 2018 08:13 MYT
Menurut Ketua Polis Negara, ketika pasukan polis tiba di Hong Kong untuk menjejaki Jho Low (gambar), dia didapati sudah melarikan diri ke Macau. - Gambar fail
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan hari ini, hasil maklumat terbaharu menunjukkan, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah melarikan diri ke Macau.
Jelasnya, maklumat berkenaan diperoleh daripada pasukan pegawainya yang dihantar untuk menjejaki Jho Low di Hong Kong.
“Paling terbaharu maklumat yang kami terima, dia berada di Macau. Semasa pasukan pegawai kami yang dihantar ke Hong Kong (untuk menjejaki Jho Low) tiba di sana, dia sudah lari ke Macau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Syawal di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jho Low akan ditangkap dan tindakan tegas juga akan diambil dari sudut undang-undang kanun jenayah atau rasuah terhadap ahli perniagaan itu.
#Hong Kong #Jho Low #Macau #Mohd Fuzi Harun