KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa bersembunyi di Disneyland Shanghai,China.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope menerusi episod pertama program Di Mana Jho Low yang disiarkan di aplikasi YouTube, hari ini.

Hope bersama penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai yang dikatakan diambil pada malam Krismas 2019.

Rakaman wajah yang dilihat mirip Jho Low itu didakwa diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

"Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, Jho Low berada di China. Malah kita menerima gambar beliau sedang bercuti di Disneyland Shanghai.

"Apa yang kita tahu bahawa Jho Low sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak," katanya.

Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang telah melancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low membuat dakwaan itu selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan pada 23 Ogos lalu.

Kedua-dua wartawan itu mendakwa bahawa Jho Low mungkin ditahan di China kerana berisiko membocorkan maklumat memalukan tentang penglibatan China dalam projek pada era Najib di Malaysia.

China telah berulang kali menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi Jho Low.

"Anda mungkin fikir dia akan bersembunyi seperti James Bond di suatu tempat tetapi sebenarnya dia hanya berkeliaran di sekitar pusat beli-belah, duduk di Shanghai Disneyland dan dia sentiasa mempunyai banyak telefon. Dia memainkannya seperti piano," kata Hope.

Mengulas lanjut, Hope berkata, kali terakhir Jho Low dilihat adalah pada tahun 2019 namun keberadaan lelaki itu tidak diketahui apabila pandemik COVID-19 melanda dunia.

LAPOR LANGSUNG: Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

"Ada antaranya mendakwa nampak Jho Low berparti di China, saya ingat ada satu parti Victoria's Secret di China. Semua orang terkejut apabila Jho Low muncul di parti berkenaan.

"Bagaimanapun, dunianya semakin mengecil, Jho Low sebelum ini berlegar di China, Taiwan dan Thailand tetapi selepas Najib ditahan, Jho Low hanya berada di sekitar China. Ada empat bandar raya yang dia didakwa sering meluangkan masa.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa beliau pulang.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan Najib.

Najib, berdepan empat pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit syarikat pelaburan itu.