Jho Low sekarang sembunyi macam tikus - Tun M

Astro Awani
November 2, 2018 11:00 MYT
Amerika Syarikat sedang berusaha untuk menangkap Jho Low dan mendakwa beliau di mahkamah. - Gambar fail
Ahli perniagaan yang dikaitkan sebagai dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho atau Jho Low kini hidup bersembunyi seperti tikus, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kata Dr Mahathir, sebelum ini Jho Low hidup mewah dengan memiliki jet peribadi dan kapal mewah namun kini terpaksa bersembunyi kerana bimbang ditangkap.
"Mereka (Amerika Syarikat) mahu dapatkan Jho Low dan membicarakan beliau tetapi kita tidak tahu beliau berada di mana.
"Kami juga ingin menangkap beliau kerana kami juga mempunyai beberapa dakwaan terhadapnya tetapi Amerika juga mahukan beliau.
"Sebelum ini Jho Low hidup mewah, melancong ke sana-sini dengan jet peribadinya dan Equinimity, hidup penuh kemewahan tetapi beliau terpaksa bersembunyi macam tikus," katanya kepada wartawan pada sidang media di lobi parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.
Dr Mahathir mengulas dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap dua tokoh perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng serta ahli perniagaan Jho Low.
Sebanyak tiga dakwaan jenayah telah difailkan oleh DOJ di sebuah mahkamah di New York terhadap Jho Low dan Roger Ng.
Tuduhan yang difailkan adalah konspirasi untuk mengubah wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan konspirasi untuk melanggar Akta Rasuah Luar Negara (Foreign Corrupt Practices Act atau FCPA) melalui bayaran rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi.
#1MDB #Amerika Syarikat #D O J #Goldman Sachs #Jabatan Kehakiman #Jho Low #Mahathir Mohamad #Malaysia #Najib Razak #pendakwaan #Roger Ng #Tim Leissner