Jia Xin disahkan positif doping, digantung dua tahun
Bernama
Januari 10, 2024 20:52 MYT
Januari 10, 2024 20:52 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi kebangsaan, Ngu Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun tahun lepas sehingga 1 Jun 2025.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Konfederasi Olahraga Malaysia (KOM) Datuk R Annamalai yang memaklumkan atlet wanita itu bakal membuat rayuan susulan hukuman yang diterimanya itu.
"Beliau memang mahu membuat rayuan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Jia Xin dibenarkan untuk mengemukakan rayuan secara bertulis kepada pihaknya selewat-lewatnya pada 24 Jan ini.
"Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia telah memutuskan bahawa atlet telah membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021.
"Keseluruhan proses telah dijalankan dengan telus dan mengikut Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Pada Jun tahun lalu, ADAMAS mengumumkan kegagalan ujian doping melibatkan Jia Xin pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut ADAMAS keputusan doping itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang sibutramine.
Jia Xin kemudian digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.
Beliau juga dilaporkan menolak untuk mencabar ujian sampel B dan memilih untuk proses pendengaran dijalankan ke atasnya pada Julai lepas.
Dalam pada itu, ADAMAS turut mengingatkan setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping.
"Ia tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang. Oleh itu, adalah penting untuk semua atlet dan kakitangan sokongan atlet mematuhi peraturan anti-doping dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia," menurutnya.
-- BERNAMA