GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Jika gencatan senjata di Gaza berjaya, Malaysia harus segera hantar bantuan - Menteri Luar

Seth Akmal 04/10/2025 | 06:30 MYT
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan (tengah) ketika sidang media perkembangan terkini 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin harus bersiap sedia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin sekiranya gencatan senjata di antara Hamas dan Israel dapat dilaksanakan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan dan NGO pro-Palestin digesa bersiap sedia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat jika gencatan senjata Hamas-Israel berjaya dilaksanakan.
  • Malaysia sambut baik penerimaan bersyarat Hamas terhadap 20 perkara dalam pelan damai Donald Trump, dilihat sebagai langkah awal ke arah pendamaian berkekalan.
  • NGO perlu dipandu kerajaan untuk misi bantuan segera dan pasca pembangunan Gaza, dengan laluan sempadan Rafah (Mesir) dan King Hussein (Jordan) diharap dibuka semula.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berharap agar laluan pintu sempadan darat di antara Mesir dan Jordan yang bersempadan dengan Palestin dapat dibuka semula susulan perkembangan terbaharu ini.

“Jika pintu Rafah dan pintu King Hussein di Jordan dibuka, maka penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat akan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.

Mohamad turut berkata Malaysia menyambut baik penerimaan bersyarat oleh Hamas terhadap 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau berpendapat perkembangan itu dilihat sebagai titik tolak ke arah pendamaian yang berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya.

"Alhamdulillah kita bersyukur kerana Hamas menerima (pelan itu) walaupun dengan bersyarat, maknanya tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestin terus dibunuh," katanya.

Pada sidang media yang sama, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Al-Kahery turut menyambut baik saranan menteri sambil menegaskan pihak NGO harus dipandu oleh pihak Kerajaan Malaysia untuk menyakan misi kemanusiaan.

“Malaysia perlu mengambil langkah menjadi antara negara pertama dan terawal untuk menghantar bantuan, persediaan yang lebih besar mesti dilakukan andai persetujuan diberikan oleh kedua-dua pihak (Hamas dan Israel) itu berlaku.

“Jika berlaku gencatan senjata (secara) kekal, pasca pembangunan (Gaza) tidak boleh ditunda, mestilah mengambil peluang ini untuk sama-sama fikirkan, kerana di Gaza itu 65,000 yang telah pun terkorban, syahid, dibunuh dan ranap.

“Kita perlu berkerjasama dengan semua pihak, khususnya dipandu oleh pihak kerajaan Malaysia,” katanya.





#gencatan senjata #Mohamad Hasan #Hamas #Gaza #pelan damai #Donald Trump