Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Jika kita diam, kita kehilangan nilai kemanusiaan - Dr Maziah

Nursyazwani Saiful Sham 11/10/2025 | 02:50 MYT
Dr Maziah menegaskan, misi kemanusiaan bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk memberi sokongan moral dan memperjuangkan hak asasi.
KUALA LUMPUR : Isu kemanusiaan tidak sepatutnya dipandang ringan oleh masyarakat antarabangsa dan tindakan nyata amat diperlukan untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan.

Menurut doktor perubatan yang juga merupakan peserta misi Freedom Flotila Coalition (FFC), Dr Maziah Mohammad, sektor perubatan di Palestin perlu diberikan keutamaan dalam setiap misi bantuan, memandangkan keadaan hospital di Gaza kini semakin kritikal akibat kemusnahan berterusan.

Beliau menekankan, semangat misi ini lahir daripada rasa kecewa melihat penderitaan rakyat Palestin yang berpanjangan tanpa tindakan konkrit daripada pemimpin dunia.

“Setiap hari hampir 200 kecederaan perlu ditampung dalam keadaan kemudahan perubatan yang sangat daif. Ini sebabnya bantuan kemanusiaan amat penting.

“Kami berada di misi ini kerana telah lama menahan perasaan kecewa. Sokongan moral sahaja tidak cukup. Walaupun kami tahu kami tiada kuasa besar untuk mengubah keadaan, ini adalah cara kami menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui Astro AWANI sebaik tiba di Istanbul, Turkiye, pada Jumaat.

Berita Terkini Global Sumud Flotilla ke Gaza 7:30AM

Kata Dr Maziah lagi, kemajuan teknologi dunia tidak seharusnya menjadi alasan untuk berdiam diri terhadap penderitaan manusia.

“Kemajuan tidak bermakna apa-apa jika kita kehilangan rasa kemanusiaan.

"Bagaimana kita sebagai manusia boleh melihat penderitaan seperti itu dan membiarkannya? Jika kita tidak lagi mampu berbuat apa-apa, maka kita telah kehilangan nilai kemanusiaan,” tegasnya.

Beliau menegaskan, misi kemanusiaan bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk memberi sokongan moral dan memperjuangkan hak asasi mereka yang terperangkap dalam konflik.

Keberanian dan solidariti sukarelawan menjadi kunci dalam memastikan nilai kemanusiaan terus dihormati di medan yang penuh risiko.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.






#bantuan kemanusiaan #Gaza #Palestin #Freedom Flotilla Coalition #Dr Maziah Mohammad