KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, jika ia perlu dilaksanakan ketika COVID-19 masih melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pilihan raya itu akan dijalankan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Jelasnya, garis panduan tersebut selaras dengan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa di bawah Akta 342.

"Namun demikian dalam keadaan COVID-19 yang masih melanda negara sudah tentu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlukan kerjsama terutamanya dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Yang mana sekarang ini pun pihak SPR telah bersedia dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 bagi menghadapi pelaksanaan pilihan raya sama ada PRU, PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK)," katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanakan PRU atau PRN Sarawak sekiranya negara masih dilanda COVID-19.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata SPR telah melaksanakan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 dalam tiga pilihan raya termasuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim, serta PRN Sabah.

"Antara langkah pencegahan yang perlu diambi kira SPR untuk melaksanakan pilihan raya semasa COVID-19 adalah pertama pembersihan dan sanitasi di semua premis yang dikenal pasti akan digunakan untuk tujuan pilihan raya, di mana perlu dilaksanakan disinfeksi sebelum, semasa dan selepas digunakan," katanya lagi.

Jelas Takiyuddin lagi, selaras dengan Fasal 1, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujud kekosongan sesuatu Parlimen atau DUN.

Sebelum itu, Takiyuddin pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan memaklumkan kos bagi pelaksanaan PRN Sabah ke-16 adalah berjumlah RM130 juta.

Ia  merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem ICT, logistik, elaun petugas pilihan raya dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan, jelasnya.

"Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19," katanya lagi.