KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan milik jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, ibu negara, pada awal pagi Selasa.
Dalam satu kenyataan media, JIM memaklumkan, pihaknya amat dukacita atas kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta kecederaan kepada mangsa yang terlibat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.
“Seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut memaklumkan, menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa.
Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut diminta tampil membantu siasatan.
Sehubungan itu, JIM juga menggesa orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman video atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi dan gangguan terhadap siasatan.
Selain siasatan polis, jabatan berkenaan memaklumkan, satu siasatan dalaman turut akan dijalankan bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan.
“JIM memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman jabatan,” menurut kenyataan itu lagi.