MALAYSIA
JIM KL selamatkan 14 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

Wan Mohammed Saupee berkata semua mangsa yang diselamatkan berusia antara 18 hingga 36 tahun, terdiri daripada 10 wanita warga Bangladesh, tiga India dan seorang Indonesia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyelamatkan 14 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks, dalam serbuan di sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling, di sini semalam.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan Op Pantas (ATIP) kira-kira 1.15 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat risikan, dengan siasatan awal menggunakan panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0).
Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan berusia antara 18 hingga 36 tahun, terdiri daripada 10 wanita warga Bangladesh, tiga India dan seorang Indonesia.
"Difahamkan, ada mangsa mendakwa 'dijual' oleh teman lelaki selepas berpisah, sebelum dieksploitasi untuk kegiatan pelacuran di premis terbabit."Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata premis itu dipercayai beroperasi dari 10 pagi hingga 11 malam dan menerima pelanggan secara walk-in.
Tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Turut ditahan, 16 pelanggan lelaki yang berada di dalam premis semasa serbuan, terdiri daripada sembilan warga Nepal, dua Bangladesh dan lima Myanmar.
"Setiap pelanggan dipercayai dikenakan bayaran kira-kira RM60 bagi mendapatkan khidmat pelacuran yang ditawarkan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami