MALAYSIA

JIM komited teruskan pendigitalan menyeluruh, pastikan tiada lagi rungutan rakyat

Bernama 06/12/2025 | 05:15 MYT
Zakaria berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan ke arah mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan jabatan itu, termasuk meneruskan agenda pendigitalan. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Reformasi perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus diperkukuh bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih efisien, cepat dan mesra pengguna.


Ringkasan AI
  • Reformasi perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diperkukuhkan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih efisien, cepat, dan mesra pengguna.
  • Inisiatif pendigitalan di semua peringkat JIM diteruskan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan urusan rakyat berjalan lancar tanpa kesesakan di kaunter.
  • Pelaksanaan langkah pendigitalan seperti Sistem Pengurusan Giliran (QMS) QueueBee telah membawa manfaat besar dengan mengatasi masalah kesesakan dan perebutan nombor di kaunter pasport.


Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan ke arah mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan jabatan itu, termasuk meneruskan agenda pendigitalan secara menyeluruh di semua peringkat.

Beliau berkata agenda reformasi akan dilaksanakan secara berterusan selaras dengan usaha jabatan menambah baik kecekapan sistem sedia ada serta memastikan urusan rakyat berjalan lebih lancar tanpa kerenah birokrasi atau kesesakan di kaunter.

"Kita tidak akan selesai dengan satu perkara sahaja dan berhenti di situ. Kita akan sentiasa mencari ruang untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya tidak mahu lagi mendengar rungutan masyarakat terhadap imigresen. Itu agenda utama kita," katanya kepada Bernama di sela-sela Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025, di sini hari ini.

Zakaria berkata reformasi yang telah dilakukan oleh JIM kini memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya melalui pelaksanaan langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras.

"Langkah mendigitalkan perkhidmatan yang telah pun bermula adalah untuk memudahkan, rakyat tidak perlu lagi beratur dari seawal pagi untuk mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Mengambil Sistem Pengurusan Giliran (QMS) QueueBee sebagai contoh, Zakaria berkata sistem pengambilan nombor giliran secara digital itu bukan sahaja memudahkan rakyat malah berjaya mengatasi isu kesesakan dan perebutan nombor di kaunter pasport.

"Kalau kita pergi ke pejabat imigresen sekarang ini, terutamanya di kaunter pasport, tidak ada lagi isu orang berebut untuk ambil nombor. Ini antara perubahan yang telah kita lakukan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa JIM sedang meneliti beberapa langkah baharu bagi memperluas agenda pendigitalan perkhidmatan pada masa akan datang sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam berlangsung hari ini adalah bersempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

Program Rancakkan MADANI berlangsung selama tiga hari bermula semalam, membabitkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa untuk pengunjung.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung.

--BERNAMA










#Reformasi Jabatan Imigresen #JIM #pendigitalan #Zakaria Shaaban