MALAYSIA

JIM tahan 19 wanita warga asing, bongkar pusat kecantikan tawar khidmat tidak bermoral

Bernama 29/01/2026 | 01:50 MYT
Zakaria berkata kegiatan ini tidak diiklankan secara terbuka sebaliknya dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada pelanggan terpilih sahaja. - Foto fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 19 wanita warga asing selepas berjaya membongkar kegiatan tidak bermoral berselindung di sebalik pusat kecantikan dan spa membabitkan empat lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Puchong pada 27 Jan lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata modus operandi premis itu adalah menggunakan lesen yang sah sebagai pusat kecantikan dan spa dengan memaparkan papan tanda dan perkhidmatan rawatan kecantikan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kegiatan ini tidak diiklankan secara terbuka sebaliknya dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada pelanggan terpilih sahaja.

"Pelanggan yang hadir akan ditawarkan perkhidmatan urutan biasa dan kod rahsia akan digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan tambahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata ruang dalaman premis berkenaan telah diubah suai dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat.

"Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM180 hingga RM250 dan dipercayai telah beroperasi sejak Mac tahun lepas," katanya.

Zakaria berkata kesemua wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada 12 warga Filipina, enam warga Vietnam dan seorang warga Mongolia berumur antara 22 hingga 48 tahun.

Beliau berkata semakan awal mendapati tiga wanita warga Vietnam yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), satu wanita warga Mongolia memiliki Pas Pelajar, 12 wanita warga Filipina memiliki Pas Pembantu Rumah manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang Pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

"Pasukan operasi telah menyita sembilan pasport Filipina, tiga pasport Vietnam, satu pasport Mongolia, lima unit telefon bimbit, pengimbas bayaran QR, buku rekod pekerja, buku urus niaga, lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral," katanya.

Zakaria berkata kesemua warga asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, sebanyak tujuh lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA





#kegiatan tidak bermoral #pusat kecantikan #warga asing #Zakaria Shaaban