MALAYSIA
JIM tumpas sindiket pemalsuan dokumen, bongkar eksploitasi sistem pemeriksaaan kesihatan

Zakaria meneliti barangan disita daripada operasi serbuan yang menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan pada 2 September lalu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan susulan penahanan lima individu dalam satu serbuan di dua lokasi berasingan sekitar Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, di ibu negara semalam.
Ringkasan AI
- JIM menumpaskan sindiket pasport palsu melibatkan lima individu, termasuk dua warga Bangladesh yang dipercayai dalang utama, dalam serbuan di Kuala Lumpur.
- Pasport palsu digunakan untuk pemeriksaan kesihatan FOMEMA, bagi memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan identiti palsu milik individu sihat.
- Rampasan termasuk pasport, peralatan pemalsuan dan wang tunai, dan kes disiasat di bawah Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63.
“Individu mempunyai masalah kesihatan akan menggunakan identiti palsu milik orang yang sihat. Tertera pada pasport palsu itu adalah maklumat biometri dan butiran berkaitan, hanya gambar individu berkenaan dicetak pada dokumen.
“Di klinik, kebiasaannya tiada peralatan khas untuk tentukan keaslian pasport, setakat tengok muka sahaja, nampak sama sudah lepas. Ini satu kelompongan yang kita perlu teliti semula,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, pada Rabu.
Tambah Zakaria, sindiket yang bermula sejak tiga bulan lalu ini menggunakan ‘runner’ bagi mencari pelanggan, kebanyakan terdiri daripada warga Bangladesh, setakat ini tiada warga tempatan dikenal pasti terlibat.
“JIM menahan lima suspek berusia antara 19 hingga 41 tahun, termasuk dua lelaki Bangladesh yang disyaki dalang utama. Tiga suspek lelaki ditahan memiliki PLKS di bawah sektor pembinaan.
“Seorang memiliki Pas Pelajar dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya.
Pasukan operasi merampas 16 pasport, lapan asli dan lapan palsu terdiri daripada Bangladesh, India dan Indonesia.
“Peralatan lain disita adalah komputer, pencetak, kulit pasport pelbagai negara, pelekat keselamatan, serta kertas bercetak, serta 11 unit telefon bimbit dan sejumlah wang tunai RM2,100.
“Turut dirampas sebuah kenderaan Perodua Aruz yang dipercayai digunakan untuk kegiatan sindiket,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
“Ini merupakan kes kedua seumpamanya selepas satu kes hampir sama dikesan pada tahun 2024.
“Sindiket didapati menumpukan operasi di kawasan Lembah Klang dan menjadikan premis kediaman sebagai pusat pengeluaran pasport palsu.
“JIM kini sedang melakukan semakan silang bagi mengenal pasti jumlah sebenar individu yang telah menggunakan khidmat sindiket berkenaan serta kesan terhadap permohonan PLKS sedia ada,” ujar Zakaria.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami