Skip to main content

Malaysia

JIM tumpas sindiket salah guna pas, manipulasi sistem pembantu rumah

 Jabatan Imigresen Malaysia membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing menerusi dua operasi khas di Johor pada 2 dan 3 Mac lalu. Foto Imigresen
JIM menjalankan operasi dua hari di Johor hasil risikan terperinci serta pemantauan berterusan selama dua bulan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pintar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian menerusi dua operasi khas yang dijalankan di Johor pada 2 dan 3 Mac lalu.

Operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor itu berjaya menahan 16 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Advertisement

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan terperinci serta pemantauan berterusan selama dua bulan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pintar.

"Dalam operasi pertama pada 2 Mac di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru, seramai 11 warga asing ditahan membabitkan lapan wanita warga Thailand, dua wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Vietnam.

"Semakan awal mendapati terdapat kes tinggal lebih masa dan penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.

"Turut disita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut. 

"Premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, JIM menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO).

Katanya, seramai lima wanita warga asing ditahan, terdiri daripada empat warga Vietnam dan seorang warga Indonesia. Turut diberkas, seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

"Siasatan mendapati sindiket terbabit mengemukakan maklumat serta dokumen yang disyaki palsu bagi mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA untuk individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan.

"Sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 bagi setiap individu.

"Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k)," ujarnya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut, manakala beberapa warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.

Must Watch Video