Pereka kasut jenama mewah kelahiran Malaysia, Datuk Jimmy Choo mendedahkan keperibadian Puteri Diana yang amat dikaguminya.

Jimmy Choo berkata beliau kagum dengan sifat rendah diri dan ketinggian peribadi puteri itu yang amat merendah diri setiap kali beliau berkunjung ke Istana Kensington.

"Walaupun saya melarangnya namun Puteri Diana tetap bertegas untuk membantu mengangkat beg pakaian sampai ke kereta saya," katanya dalam temu bual Heart and Sole with Jimmy Choo yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Jumaat.

Sesi itu dikendalikan oleh wartawan veteran Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengimbau detik bersama Puteri Diana, Jimmy Choo berkata beliau selalu mengingatkan bahawa semua manusia adalah sama dan justeru itu adalah penting untuk menghormati sesama sendiri.

Tempahan terakhir Diana adalah sepasang kasut rata warna putih tetapi tragisnya ia tidak dapat diserahkan kepada pemiliknya yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 1997.

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Pulau Pinang itu mendedahkan untuk membuka sebuah institusi fesyen di London, dan kemudian akan ke Malaysia.

Beliau mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan mengenai inisiatif baharunya itu.

Jimmy Choo yang mengikuti pengajian rekaan kasut di Kolej Cordwainers London di Hackney itu mampu menghasilkan 20 pasang kasut seminggu sekitar 1990-an.

Kasut rekaan beliau diiktiraf antarabangsa dengan nilainya mencecah sehingga jutaan ringgit.

Pada 2017, empayar fesyen terkenal Michael Kors bersetuju untuk membeli jenama mewah Jimmy Choo pada harga kira-kira £896 juta (RM5 bilion).