Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah dan ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin, antara empat individu yang ditahan polis selepas perhimpunan #KitaLawan yang diadakan di sini, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.

"Ya, disahkan tangkap empat orang untuk siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan," kata beliau melalui khidmat pesanan ringkas, di sini malam tadi.

Difahamkan dua individu lain yang turut ditahan ialah peserta perhimpunan Sidiqin Omar dan pembantu peribadi Puah, Tan Peng Chye.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sentral, di sini.

Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 4 petang dihadiri lebih kurang 50 peserta berpakaian baju hitam dan membawa sepanduk 'Tolak GST', 'Undur Najib', 'Undur Rosmah' dan 'Kita Lawan'.

Mereka dilihat berjalan sambil memukul gendang dan melaungkan 'Reformasi'.

Empat orang dilihat memberi ucapan ringkas dan semasa ucapan diberi, peserta bertumpu di atas jalanraya dan persimpangan menyebabkan lalu lintas tersekat.