Jiwa Melayu Menteri Besar Selangor yang akan melepaskan jawatannya hari ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih kental.

Itu pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi terhadap Abdul Khalid.

Malah, Zahid turut menghormati cara kepimpinan Abdul Khalid dalam menangani pelbagai krisis di Selangor.

Pernah bertugas bersama di dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB) selama hampir 7 tahun, Zahid mengakui kenal hati budi Abdul Khalid.

Malah, beliau turut memuji ketegasan serta kesungguhan Khalid yang mementingkan isu rakyat Selangor terutama isu berkaitan bekalan air bersih di negeri itu.

“Biarpun beliau merupakan ahli parlimen bebas, dan Adun bebas, saya yakin beliau memahami agenda-agenda di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan juga agenda UMNO dan Barisan Nasional untuk menentukan bahawa rakyat harus diberikan keutamaan terutamanya di dalam pembekalan air bersih untuk penduduk di Lembah Klang.

“Dalam hal ini kami menghargai sumbangan Tan Sri Khalid yang telah menjadi pentadbir di negeri Selangor selama 6 tahun,” ujar Zahid.


Zahid turut menegaskan bahawa kepimpinan UMNO tidak berhajat mahupun memaksa Khalid untuk menyertai UMNO.

Bagaimanapun, Zahid mengalu-alukan Khalid untuk menjadi wakil rakyat mesra Barisan Nasional tidak kira sama ada di Dewan Undangan Negeri Selangor mahupun di Dewan rakyat.

Zahid berkata demikian selepas menghadiri majlis kenduri kampung bersama masyarakat Bendang Pak Yong di Pengkalan Kubor, Kelantan pada Isnin malam.

Semalam adalah hari terakhir buat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang akan diambil alih Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali.

Majlis mengangkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu itu diadakan di Istana Alam Shah, Klang pagi ini.