MALAYSIA

JKDM catat kutipan hasil RM76.18 bilion pada 2025, lebih RM8.93 bilion daripada sasaran

Bernama 09/01/2026 | 07:00 MYT
Anis Rizana berkata kutipan hasil pada 2025 juga meningkat 16.18 peratus atau RM10.61 bilion berbanding RM65.57 bilion pada 2024. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion pada 2025, iaitu lebihan RM8.93 bilion berbanding unjuran hasil RM67.25 bilion yang ditetapkan awal tahun.


Ringkasan AI
  • JKDM mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM76.18 bilion pada tahun 2025, melebihi unjuran awal sebanyak RM67.25 bilion dengan lebihan RM8.93 bilion.
  • Prestasi kutipan hasil JKDM meningkat 16.18 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan konsisten dari 2022 hingga 2025.
  • JKDM terus memainkan peranan strategik dalam menyokong reformasi fiskal negara serta memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan, termasuk melalui pemindahan waran perjawatan pegawai kepada AKPS bagi meningkatkan prestasi pungutan hasil.


Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kutipan hasil pada 2025 juga meningkat 16.18 peratus atau RM10.61 bilion berbanding RM65.57 bilion pada 2024.

Seiring peningkatan ketara pada 2025, beliau berkata prestasi kutipan hasil JKDM secara keseluruhannya memperlihatkan trend peningkatan yang konsisten dan berimpak tinggi bagi tempoh dari 2022 hingga 2025.

"Secara keseluruhannya, pencapaian ini mencerminkan peningkatan dua tahun berturut-turut melebihi RM10 bilion secara konsisten bagi tempoh 2024 dan 2025.

"Ini sekali gus menzahirkan keberkesanan pendekatan strategik JKDM dalam memperkukuh pematuhan cukai, penguatkuasaan dan pemudah cara perdagangan secara menyeluruh," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berhubung sasaran kutipan hasil tahun ini, Anis Rizana berkata perkara itu masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

"JKDM terus memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda reformasi fiskal negara serta memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan melalui peningkatan prestasi pungutan hasil dan pemerkasaan penguatkuasaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata JKDM telah melaksanakan pemindahan 1,053 waran perjawatan pegawai kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di 22 pintu masuk setakat 1 Okt 2025.

"Walaupun berdepan cabaran peralihan sumber manusia, JKDM kekal berupaya mengekalkan prestasi pungutan hasil yang memberangsangkan melalui pengoptimuman proses kerja, penstrukturan operasi dan penggunaan teknologi secara strategik," katanya.

-- BERNAMA



#JKDM #kutipan cukai 2025 #Anis Rizana Mohd Zainudin #kutipan hasil 2025