MALAYSIA

JKDM Johor gagalkan cubaan seludup air zamzam bernilai RM2.58 juta

Bernama 12/09/2025 | 04:15 MYT
Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan air zamzam yang dirampas. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 107,910 liter air zamzam bernilai RM2.58 juta di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor, di sini pada 5 dan 14 Ogos.

Pengarah JKDM Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata semua 21,582 botol air itu ditemukan dalam empat kontena bersaiz 40 kaki dengan cukai berjumlah RM647,460.

"Air zamzam merupakan barang larangan dan pengimportan dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tiada sebarang permit import dikemukakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Zon Bebas, Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991.

Dalam kes berlainan, Aminul Izmeer berkata 256 kotak mengandungi cecair rokok elektronik bernilai RM46,080 dirampas dalam pemeriksaan sebuah lori di Bay Pemeriksaan Eksport Kompleks Sultan Abu Bakar dekat Iskandar Puteri pada 6 Ogos.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan setelah mesin pengimbas mengesan imej mencurigakan.

"Pemeriksaan menemukan 256 kotak cecair rokok elektronik disembunyikan di belakang tempat duduk pemandu disyaki tidak diikrar bagi tujuan pengeksportan," katanya.

Jumlah cukai bagi 7,680 unit cecair rokok elektronik di dalam kotak itu dianggarkan RM9,676.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA





#air zamzam #JKDM #seludup air zamzam #Johor