MALAYSIA

JKDM Pahang gagalkan cubaan seludup basikal elektrik, beras

Bernama 02/12/2025 | 14:30 MYT
Mohd Asri berkata nilai rampasan basikal elektrik itu dianggarkan RM272,200 dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM127,981 dan kes berkenaan masih dalam siasatan. - Gambar fail/Bernama
TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan penyeludupan basikal elektrik dan beras dalam operasi berasingan melibatkan nilai rampasan lebih RM1.1 juta.


Ringkasan AI
  • JKDM Pahang menggagalkan cubaan penyeludupan basikal elektrik bernilai RM1.1 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
  • Basikal elektrik disita yang diisytiharkan sebagai "Bicycle" merupakan barang larangan import, memerlukan permit daripada MITI.
  • Dalam operasi berasingan, JKDM juga menyita guni beras bersama tepung, dengan nilai rampasan tepung beras RM23,940 dan beras RM832,000, melibatkan duti serta cukai RM332,800.


Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata serbuan pertama melibatkan rampasan 434 unit basikal elektrik dalam sebuah kontena yang disita di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 9 Okt lepas pada 10.50 pagi.

"Basikal elektrik itu dikesan diisytiharkan sebagai "Bicycle", "Racing Bicycle" dan "Kids Bicycle", sedangkan ia barang larangan import yang memerlukan permit daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Asri berkata nilai rampasan basikal elektrik itu dianggarkan RM272,200 dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM127,981 dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Beliau berkata JKDM mendapati modus operandi pengimport adalah dengan membuat pengisytiharan mengelirukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam kes berasingan, Mohd Asri berkata dua kontena yang diisytihar membawa tepung turut disita pada hari dan tempat sama kira-kira 1 tengah hari selepas pihaknya menemukan guni beras yang disembunyikan bersama muatan tepung.

"Pemeriksaan mendapati sebanyak 7,980 kilogram (kg) tepung beras dan 41,600 kg berada dalam kontena itu dengan nilai rampasan tepung beras dianggarkan RM23,940, manakala rampasan beras mencecah RM832,000, melibatkan anggaran duti serta cukai berjumlah RM332,800," katanya.

Beliau berkata beras yang dipercayai mahu diedarkan ke restoran seluruh negara itu diklasifikasikan sebagai larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit daripada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) serta pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


#MITI #JKDM #basikal elektrik #maqis