MALAYSIA

JKDM Pulau Pinang serbu stor ladang sawit proses minuman keras

Bernama 06/02/2026 | 15:15 MYT
Rohaizad (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih dan minuman keras dengan nilai barangan serta cukai bernilai RM10.7 juta yang dirampas pada 24 Disember 6 Januari lepas di Kompleks Penguasaan JKDM Negeri hari ini. - Gambar Bernama
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menyerbu sebuah stor dalam ladang kelapa sawit di Sungai Dua, di sini yang dijadikan kilang pemprosesan minuman keras tidak bercukai pada 6 Jan.


Ringkasan AI
  • JKDM Pulau Pinang serbu stor dalam ladang kelapa sawit di Sungai Dua yang dijadikan kilang pemprosesan minuman keras tidak bercukai.
  • Serbuan temui botol berlabel pelbagai jenama mengandungi cecair disyaki minuman keras dan tong berisi etanol berserta peralatan pemprosesan lain.
  • Sebanyak 10,391 botol minuman keras jenis wiski tanpa cukai bernilai RM717,963 disita, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pemilik premis.


Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata serbuan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan hasil maklumat dan risikan itu menemukan botol dilekatkan label pelbagai jenama mengandungi cecair disyaki minuman keras.

"Pemeriksaan juga menemukan tong berisi etanol serta pelbagai peralatan digunakan untuk memproses minuman keras seperti gulungan setem cukai kastam palsu, alat membungkus, mesin pemasang penutup dan pelekat label.

"Sebanyak 10,391 botol atau 4,208.7 liter minuman keras jenis wiski ditemukan disyaki tidak berkastam bernilai RM717,963 termasuk cukai RM516,072," katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini hari ini.

Rohaizad berkata sebahagian daripada minuman keras itu telah ditampal setem cukai kastam, namun semasa serbuan premis tersebut tidak berpenghuni.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis dan berdasarkan bil utiliti ia didaftarkan atas nama individu warga tempatan," katanya.

Rohaizad berkata pihaknya telah menyita semua minuman keras itu yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA


#kelapa sawit #minuman keras #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #bil utiliti