MALAYSIA

JKDM rampas rokok seludup bernilai RM1.63 juta

Bernama 04/11/2025 | 14:00 MYT
Mohd Asri bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran rokok tidak berkastam di Wisma Kastam, Jalan Bank, hari ini. - Gambar Bernama
KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan pengedaran rokok seludup dengan nilai rampasan termasuk jumlah duti dan cukai sebanyak RM1.63 juta.


Ringkasan AI
  • JKDM Pahang menggagalkan pengedaran rokok seludup bernilai RM1.63 juta dengan rampasan termasuk duti dan cukai.
  • Serbuan dilakukan ke premis kediaman tidak berpenghuni di Indera Mahkota 21, dijumpai 1,586,660 batang rokok putih pelbagai jenis.
  • Siasatan sedang dijalankan ke atas pemilik rumah yang menyewakan premis kepada suspek, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.


Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata pihaknya telah melaksanakan serbuan terhadap premis kediaman tidak berpenghuni di Indera Mahkota 21, pada 2 Okt lepas.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata serbuan dilakukan terhadap sebuah premis kediaman tidak berpenghuni di Indera Mahkota 21 pada 2 Okt lepas.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,586,660 batang rokok putih pelbagai jenis dan jenama yang disyaki sebagai barang larangan, bernilai RM261,758. Duti dan cukai yang terlibat dalam kes ini dianggarkan berjumlah RM1,366,965.80," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan premis kediaman di kawasan terpencil sebagai tempat penyimpanan barangan larangan.

"Rumah ini bukan semata-mata dijadikan stor, sebaliknya kami mendapati terdapat kesan kehadiran individu di dalamnya, dan hasil siasatan mengenal pasti mereka merupakan beberapa warga asing," katanya.

Menurut Mohd Asri pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap pemilik rumah yang menyewakan premis berkenaan kepada suspek.

"Keterangan telah diambil dan kes masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, mengikut nilai yang lebih besar, dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut nilai lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran di seluruh negeri.

"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

-- BERNAMA


#Akta Kastam 1967 #rokok seludup #warga asing #kawasan terpencil