[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

JKDM Selangor tumpas 539 kes, rampas pelbagai komoditi lebih RM124 juta

Bernama 29/09/2025 | 12:15 MYT
Mohamad Azhar menunjukkan barangan rampasan pada sidang media JKDM Negeri Selangor mengenai kejayaan menggagalkan penyeludupan pelbagai komoditi dengan anggaran nilai dan cukai keseluruhan melebihi RM6.05juta hari ini. - Gambar Bernama
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan terlarang berjumlah RM124.7 juta dengan anggaran cukai sebanyak RM84.4 juta membabitkan 539 kes sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini hingga 31 Ogos lepas.

Pengarah Kastam Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata antara komoditi yang dirampas ialah minuman keras, tembakau, mercun, dadah, sekerap, besi, barangan elektrik, daging sejuk beku dan lain-lain.

Beliau berkata minuman keras merupakan antara komoditi utama yang didapati cuba diseludup, dengan 57 kes melibatkan nilai rampasan RM6.7 juta dan anggaran cukai RM28.8 juta.

"Minuman keras menjadi pilihan sindiket kerana cukainya tinggi berbanding dengan komoditi lain, selain permintaan pasaran berterusan.

"Untuk itu, mereka gunakan pelbagai taktik termasuk menukar laluan masuk serta mencampurkan barangan di dalam kontena bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Azhar berkata rokok turut menjadi komoditi tumpuan aktiviti penyeludupan dengan rampasan bernilai RM3.23 juta dan cukai RM26.3 juta melibatkan 39 kes, diikuti tembakau dengan 15 kes bernilai RM6.6 juta serta cukai RM15.5 juta.

Selain itu, katanya JKDM Selangor turut merampas mercun bernilai RM1.4 juta, dadah (RM2.6 juta), sekerap (RM56.5 juta), besi (RM2.5 juta), barangan elektrik (RM6.4 juta) dan daging sejuk beku (RM12.6 juta).

"Kesemua 539 kes berkenaan masih dalam siasatan lagi sebab perlu dapatkan maklumat kes yang disiasat daripada Jabatan Kimia dan lain-lain jabatan serta agensi berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Azhar berkata antara kejayaan terkini JKDM Selangor ialah menumpaskan aktiviti penyeludupan barang larangan bernilai RM6.05 juta melibatkan daging sejuk beku, mangkuk tandas dan sinki, minuman keras, telefon pintar, serta bijih timah.

Beliau berkata bagi rampasan daging sejuk beku, pihaknya menahan tiga kontena bersaiz 40 kaki, masing-masing dua kontena di kawasan Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang dan satu kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

"Rampasan pada 23 Julai dan 11 Ogos itu melibatkan dada ayam sejuk beku sebanyak 51.6 tan dengan anggaran nilai RM1.52 juta termasuk duti/cukai manakala itik sejuk beku sebanyak 24.2 tan dengan anggaran nilai rampasan RM406,164.

"Komoditi ini dipercayai diimport tanpa permit dari negara sekitar Asia untuk kegunaan pasaran tempatan dan diikrarkan sebagai sayur campuran dan kentang goreng sejuk beku bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Mohamad Azhar berkata pada 15 Julai dan 1 Ogos, pihaknya menahan dua kontena bersaiz 40 kaki di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan menemukan 654 unit mangkuk tandas serta 1,600 unit sinki dipercayai diimport tanpa sijil kelulusan, bernilai RM852,400 serta cukai sebanyak RM319,650.

Beliau berkata rampasan seterusnya adalah pada 11 Julai melibatkan 4,462.50 liter minuman keras pelbagai jenis dan 360 unit telefon pintar dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai dagangan minuman keras berjumlah RM122,171 termasuk cukai, manakala telefon pintar dianggarkan berjumlah RM203,490 termasuk cukai.

"Kesemua kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu mengimport barang larangan tanpa permit sah dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar," katanya.

-- BERNAMA


#minuman keras #Akta Kastam 1967 #telefon pintar #permit import