MALAYSIA

JKDM Terengganu gagalkan cubaan edar rokok seludup

Bernama 09/11/2025 | 15:00 MYT
Hasbollah percaya rokok putih yang dirampas berkenaan dibawa masuk dari luar Terengganu untuk diedarkan bagi pasaran tempatan. - Gambar Bernama
CHUKAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menggagalkan cubaan mengedar rokok seludup menyaksikan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM319,228.80.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menggagalkan cubaan menyeludup rokok dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai RM319,228.80.
  • Ops Macan Legit 2 melibatkan serbuan ke atas sebuah MPV Toyota Vellfire di Kampung Dusun Nyior, Nyior Mawar, Terengganu pada 6 Ogos lalu.
  • Rampasan 352,800 batang rokok putih bernilai RM78,528 disita; pemilik MPV yang menggunakan nombor pendaftaran palsu masih belum dikenal pasti.


Pengarahnya Hasbollah Din berkata rampasan menerusi Ops Macan Legit 2 itu dijalankan hasil serbuan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang ditinggalkan di tepi jalan di Nyior Mawar di Kampung Dusun Nyior dekat sini pada 6 Ogos lepas.

"Sepasukan anggota Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kemaman, JKDM Terengganu telah menjalankan intipan selama 40 minit berhubung kenderaan yang ditinggalkan itu.

"Hasil intipan mendapati tiada sebarang pergerakan dikesan. Pasukan kita kemudian menyerbu MPV berkenaan dan menemukan 352,800 batang rokok putih (seludup) pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM78,528 dan jumlah duti serta cukai sebanyak RM240,700.80," katanya pada sidang media di sini hari ini.

MPV itu berserta muatannya telah disita bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Hasbollah percaya rokok putih yang dirampas berkenaan dibawa masuk dari luar Terengganu untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.

Bagaimanapun, pihaknya masih mengenal pasti pemilik MPV yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Modus operandi adalah dengan menyimpan rokok-rokok yang tidak lulus Kastam di dalam kenderaan mewah sebelum mengedarkannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

-- BERNAMA



#Akta Kastam 1967 #rokok seludup #MPV #pihak berkuasa