Skip to main content
Advertisement

Malaysia

JKDM tumpaskan sindiket dadah antarabangsa libatkan rampasan lebih RM300 juta

NILAI, 1 Julai -- Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Amran Ahmad (dua, kanan) menunjukkan rampasan dadah dalam lima kes berasingan pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Jijan hari ini.  JKDM Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan sitaan pelbagai jenis dadah seberat 4.83 tan bernilai RM300.72 juta menerusi lima kes yang dikesan sepanjang tempoh April
Siasatan mendapati dadah berkenaan disembunyikan dalam 18,870 kotak minuman mengandungi cecair disyaki heroin. - Foto Bernama
Advertisement

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi lima kes berasingan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 4.83 tan dianggarkan bernilai RM300.7 juta bagi tempoh April hingga Jun lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Amran Ahmad berkata rampasan terbesar membabitkan heroin seberat 3,396.6 kilogram (kg) bernilai RM169.83 juta yang ditemukan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 15 Jun lepas.

"Siasatan mendapati dadah berkenaan disembunyikan dalam 18,870 kotak minuman mengandungi cecair disyaki heroin. Kargo itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir.

"Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran secara palsu sebagai makanan campuran, sabun, detergen, gel rambut dan span bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

Amran berkata JKDM turut merampas 161.39 kg cannabis bud bernilai RM12.91 juta daripada 11 kotak dagangan mengandungi 269 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah terbabit menerusi pemeriksaan di sebuah syarikat logistik di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 18 Mei lepas.

Amran berkata susulan itu dua individu warga tempatan berumur 20 dan 30-an yang merupakan ejen perkapalan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata tiga lagi kes rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah dan racun psikotropik keseluruhan seberat 6.11 kg bernilai RM978,778, methylenedioxy methamphetamine (220.3 kg) bernilai RM33.05 juta serta cannabis bud (1,049.5 kg) bernilai RM83.96 juta di pelbagai lokasi termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Amran berkata kejayaan terbesar setakat ini membuktikan komitmen berterusan JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang menjadikan Malaysia sebagai laluan transit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement