Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

JKKMN teliti tubuh Lembaga Ruminan Negara, dasar baharu perkukuh keterjaminan makanan

Bernama 24/10/2025 | 20:00 MYT
Mohamad berkata perancangan dasar turut diperkukuh menerusi inisiatif digital Tanistats yang akan mempertingkatkan perkongsian data nasional dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) meneliti strategi meningkatkan kemandirian sektor ternakan negara menerusi cadangan penubuhan Lembaga Ruminan Negara serta memuktamadkan dasar baharu bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.


Ringkasan AI
  • Kerajaan meneliti penubuhan Lembaga Ruminan Negara untuk memperkukuh industri ternakan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
  • Dasar baharu keterjaminan makanan sedang dimuktamadkan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, kemampanan sistem pertanian, serta menyelaras tindakan antara agensi melalui perundangan khusus.
  • Inisiatif digital Tanistats akan memperkukuh perkongsian data dan perancangan sektor pertanian bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf hidup petani dan penternak.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan penubuhan Lembaga Ruminan Negara itu adalah susulan laporan kajian kebolehlaksanaan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memperkukuh industri ternakan ruminan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau berkata kerajaan sedang memuktamadkan dasar baharu yang komprehensif bagi menangani cabaran keterjaminan makanan semakin kompleks melalui pendekatan bersepadu, berasaskan bukti dan dipacu misi.

"Dasar ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengeluaran pertanian dan agromakanan, menjamin kemampanan sistem, memperkukuh diplomasi makanan serantau, menggalakkan pemakanan sihat serta memacu pertumbuhan ekonomi terangkum.

"Bagi menjamin keberkesanan pelaksanaannya, dasar ini akan disokong oleh perundangan khusus yang berfungsi menyelaras tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian bagi memperkukuh tadbir urus demi kemampanan dan keterjaminan makanan negara secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Mohamad berkata perancangan dasar turut diperkukuh menerusi inisiatif digital sistem statistik pertanian bersepadu (Tanistats) yang akan mempertingkatkan perkongsian data nasional dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian.

"Tanistats akan menjadi platform penting dalam memperkasa dasar dan perancangan sektor pertanian, sekali gus memastikan keterjaminan makanan negara dapat diperkukuh secara berterusan," katanya.

Beliau berkata Mesyuarat JKKMN Bilangan 2/2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Okt lepas, turut memberi fokus kepada usaha merancakkan pertumbuhan sektor pertanian serta meningkatkan taraf hidup golongan petani dan penternak.

"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited untuk terus melakar dasar dan inisiatif progresif demi menjamin masa depan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara," katanya.

-- BERNAMA







#Lembaga Ruminan Negara #keterjaminan makanan #Mohamad Sabu #TaniStats