MALAYSIA

JKKP N. Sembilan siasat lanjut insiden kebocoran gas amonia

Bernama 16/01/2026 | 22:50 MYT
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden letupan tong silinder gas amonia bocor yang berlaku di susur keluar Plaza Tol Seremban menghala utara.
SEREMBAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden letupan tong silinder gas amonia bocor yang berlaku di susur keluar Plaza Tol Seremban menghala utara, semalam.

JKKP Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Jabatan memandang serius setiap kemalangan mahupun penyakit pekerjaan yang berpunca daripada mana-mana aktiviti dalam setiap sektor pekerjaan.

"Jabatan juga sentiasa komited dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara," menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, tiga individu masing-masing seorang pengawal keselamatan, jurutol dan pemandu lori dilaporkan mengalami sesak nafas selepas satu daripada 15 tong silinder gas amonia dalam sebuah lori meletup dan mengalami kebocoran di susur keluar Plaza Tol Seremban arah utara.

-- BERNAMA





#Negeri Sembilan #gas amonia bocor #JKKP Negeri Sembilan #letupan tong silinder