BUKIT MERTAJAM: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pekerja telekomunikasi yang meninggal dunia pada 16 Ogos lepas susulan kemalangan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah menara telekomunikasi di Kampung Juru, di sini.
Pengarahnya Hairozie Asri berkata kejadian berlaku pada 4.45 petang 11 Julai lepas ketika lelaki tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan baik pulih di menara tersebut.
"Siasatan awal JKKP mendapati mangsa dipercayai lalu atas sebuah alas tiang (plinth) menara telekomunikasi sebelum terjatuh.
“JKKP Pulau Pinang juga telah mengeluarkan Surat Arahan kepada pihak berkaitan bagi mengemukakan dokumen dan maklumat berhubung kemalangan tersebut untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 17(1) dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.
-- BERNAMA