SEREMBAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan telah mengeluarkan arahan menutup lokasi letupan bunga api di sebuah hotel di Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Pejabat Pengarah JKKP Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut merampas beberapa dokumen berkaitan kerja-kerja dijalankan untuk siasatan.

"Daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP Negeri Sembilan mendapati, mangsa merupakan pekerja syarikat yang dilantik untuk mengendalikan pemasangan bunga api bagi sambutan tahun baharu.

"Mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api di kawasan atas tempat letak kereta dan bunga api tersebut telah meletup secara tiba-tiba," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, mangsa dilaporkan telah mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Hospital Port Dickson.

Selain itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ia bertujuan menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya.

Ujarnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan mahu pun penyakit pekerjaan yang berpunca dari mana-mana aktiviti dalam setiap sektor pekerjaan.

"JKKP juga sentiasa komited dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam negara," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan persiapan sambutan tahun baharu sebuah hotel terkenal di Port Dickson bertukar tragedi selepas seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera terkena letupan bunga api pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa masing-masing berusia 40 tahun dan 39 tahun sedang memasang bunga api untuk pertunjukan ambang tahun baharu 2024 di hotel berkenaan.

Kejadian berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kenderaan hotel berkenaan. - Sinar Harian